Apa yang anda semua terfikir apabila membaca tajuk entri ini? Agak lucah atau tidak patut dilabel sedemikian? Tidak kisahlah apa pun yang bermain di benak fikiran anda, meh aku nak kupas pasal entri hari ini.
Orang macam ni tak boleh buat kenduri |
Mengawan di sini aku maksudkan sebagai perkahwinan. Sekarang ialah musim cuti sekolah dan ramai pasangan yang mengambil kesempatan ini untuk mendirikan mahligai bahagia mereka. Cuti sekolah membolehkan sanak-saudara yang telah berhijrah untuk pulang ke tempat asal mereka untuk berjumpa dengan saudara-mara yang masih ada di kampung. Secara tidak langsung, peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk mengadakan majlis perkahwinan kerana pertambahan tenaga kerja yang mendadak dek kerana kepulangan adik-beradik, anak beranak, ipar duai dan semuanyalah. Ini adalah satu contoh terbaik dalam masyarakat Melayu yang masih mengekalkan sikap gotong-royong dan kerjasama ketika membuat sesuatu majlis yang besar-besar. Ini boleh mengeratkan silaturrahim dan menyambung kembali tali persaudaraan dan membolehkan saudara-mara lebih mengenali keluarga besar mereka. Semangat ini yang kita mahu kerana Islam memang menggalakkan kita menghubungkan pertalian sesama kita.
Namun, harus juga diingat bahawa majlis perkahwinan itu biarlah mengikut lunas-lunas Islam dan tidak membawa kepada pembaziran. Tidak perlu diadakan majlis yang gilang-gemilang sehingga terpaksa bergolok gadai demi semata-mata menunjukkan majlis itu hebat dan akan menjadi sebutan orang kampung. Cukup sekadar majlis yang bersederhana tetapi mendapat keberkatan dan keredhaan dari Ilahi. Selain itu, jauhi juga amalan yang tidak patut seperti mengadakan nyanyian dan joget kerana tidak digalakkan di dalam Islam.