Salam pagi Isnin semua. Mesti ramai yang dalam mood bercuti lagi. Minggu lepas boleh cuti lama kalau ada yang mohon cuti 3 hari kan tetapi hari ni aku nak meluahkan rasa panas hati aku selepas memandu dari Terengganu ke Kota Tinggi semalam. Dalam 8 jam juga aku memandu. Penat badan pun tak hilang lagi. Luahan hati panas aku hari ini berkenaan cara pemanduan pengguna jalan raya di Malaysia. Memang sangat panas sebab aku nak menggelarkan mereka ini sebagai pemandu yang bodoh. Nampak kasar tapi itu memang kena pada mereka.
Jenis pemandu bodoh yang pertama ialah pemandu kenderaan berat seperti lori, bas, treler dan semua kenderaan yang berat. Aku bagi contoh direct, jalan dari Mersing ke Kota Tinggi adalah satu lane sahaja yang banyak dengan selekoh dan bukit. Pemandu bodoh pertama ini memandu dengan kadar yang sangat perlahan dan macam orang sedang bercinta. Kenderaan di belakang tidak boleh memotong kerana trafik dari laluan bertentangan juga agak sibuk. Aku sempat menjeling cermin belakang dan kenderaan yang berderetan di belakang boleh mencecah 1 kilometer panjangnya. Terdapat beberapa bahagian di sepanjang jalan tersebut untuk membolehkan lori tersebut mengelak ke tepi dan memberikan laluan kepada kenderaan kecil untuk memotong dan meneruskan perjalanan dengan lancar. Semoga abang pemandu kenderaan berat ini boleh mengubah sikap dan ingat kepada kenderaan yang lebih kecil.
Pemandu bodoh yang kedua terhasil rentetan tindakan dari pemandu bodoh pertama. Setelah bergerak dengan kadar yang perlahan dan lama, mereka mula hilang sabar dan cuba memotong kenderaan lain sedangkan jalan tersebut adalah garisan berkembar, berselekoh dan berbukit. Adalah sangat berbahaya untuk memotong dalam keadaan tersebut yang pasti boleh menjadi kemalangan maut sekiranya bertembung. Semasa memotong, datang kenderaan dari arah hadapan dan mulalah sibuk bagi isyarat untuk masuk ke depan kereta kita. AWAS! Aku tak akan bagi peluang kepada pemandu bodoh kedua ini untuk masuk ke depan aku dan ikhlas aku katakan aku lebih rela tengok mereka bertembung atau terbabas dari mereka masuk ke depan aku. Biar mereka rasa akibat buruk kerana sikap dan perangai bodoh mereka sendiri. Puas hati aku.
Pemandu bodoh ketiga pula adalah mereka yang suka membuang sampah dari kenderaan mereka tanpa mempedulikan kenderaan di belakang. Ada satu van yang sarat dengan keluarga dalam satu laluan dengan aku. Si bapa, pemandu dengan seronok makan kacang dan membuang kulit kacang keluar dari tingkap. Sampah tersebut terkena kereta aku banyak kali. Memang sekadar kulit kacang yang tidak akan merosakkan kereta tetapi perangai tersebut sangat tidak patut. Aku memotong van tersebut dan membalas balik. Mana-mana sampah yang ada dalam kereta, aku campak satu persatu keluar. Hasilnya, aku melihat van itu menjarakkan kenderaannya jauh dari aku. Baru kau rasa ape aku rasa. Aku akui tindakan aku agak tidak patut dan mengikut emosi tetapi aku rasa pemandu bodoh ketiga ini mendapat pengajarannya untuk tidak lagi berbuat begitu pada masa akan datang.
Sekiranya, pembaca yang sedang membaca entri ini termasuk di dalam salah satu kategori pemandu di atas, aku minta maaf di atas kekasaran bahasa sekiranya anda terasa tetapi anda patut untuk dilabel sedemikian kerana tindakan anda yang tidak berapa cerdik di jalan raya. Semoga kita semua boleh mengubah sikap dan cara pemanduan agar pemandu-pemandu di Malaysia tidak dilabel pemandu biadap di dunia.