Tajuk entri kali ini sangat panas dan memeranjatkan. Ia pasti panas dan menjadi buah mulut dan buah tangan semua. Miskin di sini bukan sahaja dari sudut berpakaian tetapi juga dari sudut kesedaran agama. Aku bukan seorang ustat untuk berhujah mengenai dosa pahala tetapi aku rasa aku boleh mengatakan mana yang dosa dan mana yang pahala.
Nabila Huda, pelakon yang selalu dikaitkan dengan kontroversi sekali lagi membuat Malaysia gempar dengan cara berpakaian beliau. Walaupun pada malam anugerah tersebut telah ditetapkan dengan tema colour block yang entah aku pun tak tau maknanya, tetapi cara pemakaian itu yang menjadi perhatian aku. Ia sangat tidak kena pada pandangan waras umat Islam. Terlampau menjolok mata dan tiada langsung nilai Islam. Mungkin ada yang berpandangan itu adalah hak beliau untuk berpakaian namun juga menjadi hak semua orang orang menegur sekiranya perbuatan itu adalah salah.
Artis lelaki berpakaian menutup aurat |
Selain itu, aku masih terus berfikir kenapa stesen tv Malaysia ini mengenakan syarat double standard kepada artis. Jika dahulu Faizal Tahir dihukum kerana membuka baju ketika persembahan walhal aurat lelaki ialah dari pusat ke lutut, namun bagaimana pula dengan artis wanita yang berpakaian tidak sopan ini tidak dikenakan sebarang tindakan. Kita berada di Malaysia yang dilabel sebagai negara Islam namun artis-artis Malaysia berpakaian seperti kita ini berada di Hollywood. Apakah kerana status diva, mereka dibiarkan sahaja bermaharajalela merosakkan minda dan mencemar pemikiran muda-mudi Malaysia? Adakah pihak pengurusan hiburan di negara ini tidak langsung memikirkan dosa pahala dalam kehidupan harian mereka.
Pening melihat cara berpakaian artis Malaysia |
Aku berharap, generasi masa depan Malaysia tidak terus hanyut dalam gelora hedonisme yang sedang menggila dalam merosakkan akidah dan akhlak manusia. Hanya kekuatan iman dalam diri yang menjadi benteng dalam menghindarkan diri daripada gejala tidak elok ini. Bagi aku, pepatah lama Melayu yang berbunyi:
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak
sudah tidak relevan dengan kita. Ia menunjukkan kita tidak tetap pendirian dan berubah-ubah pendirian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang menguntungkan kita.
p/s: tulisan ini adalah pendapat aku sendiri dan pembaca boleh menilai sendiri perkara yang aku tuliskan ini.