Tiada Lagi Medan Perang



Salam Ramadhan semua. Kita sudah masuk hari ke 19 Ramadhan dan tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Persediaan untuk Hari Raya memang tidak perlu diperdebatkan lagi kerana semua sedia maklum para ibubapa telah sibuk sejak awal lagi untuk menyiapkan semua perkara yang berkaitan dengan Hari Raya. Ia sudah menjadi kebiasaan bagi kita. Tetapi pada tahun ini, aku terasa sedikit ketenangan pada waktu malam. Kebiasaannya, pada hari-hari terakhir kita sudah dapat mendengar letupan mercun di sana sini, umpama di medan perang. Tahun ini telinga aku hanya dapat menangkap sedikit sahaja bunyi letupan yang membingitkan dan menjengkelkan telinga itu.

Adakah telah timbul kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya bermain mercun ini? Berita kanak-kanak cacat anggota angkara mercun juga tidak galak dilaporkan di media-media massa baik di media cetak atau elektronik. Adakah kerana kecekapan pihak berkuasa Malaysia bertindak untuk menghalang kemasukan bahan terlarang itu dari masuk ke negara ini? Sekalung tahniah buat mereka kerana usaha mereka telah berjaya menghalang penambahan orang cacat anggota di negara ini.



Aku sudah dapat mengecapi nikmat malam Ramadhan tanpa letupan bingit yang hanya mengundang maki hamun diri aku ini. Dapatlah anak aku tidur tanpa bunyi letupan mercun yang hanya mengundang tangisannya kerana takut akan bunyi yang kuat itu.


Aku harap ketenangan dan kesedaran ini akan berterusan bukan sahaja pada tahun depan tapi seterusnya sampai bila-bila. Elok ditinggalkan sahaja tabiat buruk bermain mercun itu dan diganti dengan amalan yang lebih berfaedah seperti membersihkan rumah dan sebagainya. Dapatlah mengelakkan pembaziran di samping memperindahkan kediaman sendiri.

2 comments.. read them below or add one

Mus Lim Mus Lim August 08, 2012
Assalamu`alaikum Sahabat.
Unknown Unknown August 13, 2012
salam juga sahabat..