Jangan terpesona dengan senyuman beliau |
Hari ini aku nak meluahkan sedikit rasa tidak puas hati yang terbuku selama ini. Rasa tidak puas hati terhadap stesen tv yang berbayar dan percuma dengan penayangan sinetron dari negara jiran, Indonesia. Kita dilambakkan dengan berbagai sinetron yang bagi aku kurang mempunyai kualiti dari banyak segi terutamanya jalan cerita yang memang bagi aku sangat menyakitkan hati. Skrip pula aku tak nak komen sebab menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya dan aku pun tidak berapa gemar mendengar bahasa itu dituturkan.
Antara cerita yang sempat aku tertengok ketika menunggu di klinik ialah kisah Nada Cinta. Kisah muda mudi yang masih bersekolah berebut cinta seorang lelaki yang kacak. Kebanyakan pelajar jahat berkereta mewah dan hebat penampilannya. Manakala orang baik adalah miskin dan susah kehidupannya. Orang miskin berterusan dibuli dan tidak berani mempertahankan diri. Bosan dan menyampah aku melihatnya kerana terlalu mudah kejahatan itu berleluasa. Dan tiada orang dewasa yang campur tangan mengajar pelajar itu tentang adab dan kelakuan baik. Selain itu, aku rasa sinetron yang paling hangat dulu ialah kisah Bawang Merah dan Bawang Putih. Entah sudah berapa ratus episod yang ditayangkan di TV. Yang baik tidak sudah-sudah dianiya oleh si jahat. Sungguh tipikal semua cerita Indonesia. Selepas berminggu-minggu para penonton mengikuti siri tersebut, kesudahannya adalah sangat menjengkelkan. Ia sebenarnya adalah mimpi seorang gadis dan aku rasa para penonton pasti meluat dengan kesudahan itu. Nasib aku baik kerana aku tidak tergolong dalam kalangan orang yang setia menonton siri bosan itu.
Jika direnung kembali, negara kita asyik menyiarkan siri dari Indonesia tetapi adakah mereka menayangkan juga produk kita di negara mereka. Aku rasa mustahil kerana kebencian rakyat mereka kepada negara kita adalah sangat tinggi dan pasti produk kita tidak akan mendapat sambutan di sana. Namun adakah pihak tv sedar akan perkara ini? Mungkin mereka sibuk memikirkan rating yang boleh dicapai oleh mereka sekiranya menayangkan sinetron dari Indonesia. Sepatutnya stesen tv terus memainkan peranan untuk memartabatkan drama-drama kita yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan produk luar.