Beruk Jalanan Bertopengkan Manusia

Malam-malam terakhir Ramadhan ini sepatutnya dihabiskan bersama-sama keluarga,sama ada bergotong-royong untuk persiapan terakhir Hari Raya atau beribadat bersama-sama. Semua itu boleh mendatangkan manfaat dan kenangan yang terindah untuk kesemua ahli keluarga. Ia adalah contoh terbaik untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan semua pada zaman yang serba mencabar ini. Anak-anak muda seperti inilah yang akan menjadi tonggak negara pada masa akan datang.

Lain pula ceritanya dengan anak-anak muda di Terengganu. Mereka juga berkumpul, berjumpa dan beramah mesra sesama mereka namun dengan cara yang tidak boleh dibanggakan sama sekali. Anak-anak muda di sini, mengisi malam-malam akhir Ramadhan dengan cara mereka sendiri iaitu berlumba motor secara haram. Ratusan mat motor akan berkumpul dengan jentera lumba masing-masing untuk menentukan siapakah yang paling jaguh antara mereka. Trek haram kegemaran mereka ialah di jalan Padang Midin menuju ke Merbau Patah. Jalan ini sangat digemari kerana ianya panjang dan lurus tetapi jalan itu merupakan jalan utama para pengguna untuk ke pusat bandar yang pasti akan mendatangkan risiko kepada kesemua pengguna jalan tersebut.

Video boleh ditonton di laman Youtube

Mat Rempit Sekat Jalan di Padang Midin 2016
Mat Rempit Sekat Jalan di Padang Midin 2015



Jumlah motorsikal yang terlibat boleh mencapai ribuan dan akan menyekat laluan kesemua pengguna jalan raya yang lain. Perkara ini akan menyusahkan semua kerana mat motor ini tidak mempedulikan keselamatan dan perasaan orang lain. Lagak mereka seperti jalan tersebut mereka yang punya dan pengguna lain tidak berhak menggunakannya. Trek haram itu akan menjadi lebih meriah apabila beberapa pelumba mula memecut dengan laju seolah-olah mencabar rakan-rakan lain. Cabaran tersebut tidak menunggu lama untuk disahut dan beberapa ketika kemudian, beberapa motorsikal akan mula berentap antara satu sama lain.Faktor keselamatan memang tidak dititikberatkan. Tidak memakai topi keledar, berselipar malah hanya berseluar pendek. Tiada istilah takut di hati mereka sekiranya berlaku sebarang kecelakaan yang menimpa mereka.

Perbuatan bodoh mereka ini dikongsi sesama mereka di laman sosial untuk menunjukkan kejayaan mereka untuk meraikan sambutan malam raya. Mereka angkuh mengatakan polis dan orang kampung tidak boleh menyekat mereka untuk berseronok dengan berlumba haram. Angkuh dengan jentera lumba mereka. Angkuh dengan deruman enjin bingit membakar hening malam. Orang sibuk bersiap untuk berhari raya, mereka sibuk berlumba haram. Apakah layak mereka ini menjadi harapan masa akan datang? 

                   
Kebanyakan mat rempit yang datang berlumba bukanlah penduduk asal di situ tetapi dari kawasan yang berhampiran. Kebanjiran mereka di sini menyebabkan timbul masalah yang pada tahap seriusnya membabitkan nyawa manusia yang tidak bersalah. Ambulans yang dalam perjalanan tersekat berjam-jam dan kerana kelewatan itu, seorang pesakit menjadi korban. Adakah ini yang menjadi kebanggaan mat rempit tersebut.

Luahan hati anak si mati

Kejadian ini telah membuatkan para penduduk berhampiran jalan tersebut bangkit untuk membanteras perkara ini. Mereka bersatu untuk menghalang mat rempit dari terus bermaharajalela di kampung mereka. 

Gambar agak keterlaluan tapi inilah tekad penduduk kampung.

Diharapkan kerjasama para penduduk kampung ini akan berjaya dan dapat menghapuskan gejala ini dari terus berlaku di jalan kampung mereka. Ini adalah jalan terakhir yang boleh dilakukan kerana nasihat dan maki hamun tidak mendatangkan kesan kepada pelesit jalan ini. Selain itu, diharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan lebih serius dalam menangani isu ini. Ia bukan isu kecil kerana telah melibatkan nyawa manusia. Adakah perlu bertambahnya jumlah korban barulah pihak berkaitan akan mengambil tindakan. 

Sekiranya posting ini bermakna, sila bantu sebarkan agar gejala tidak berfaedah ini dapat dibanteras dan tidak menular ke tempat anda.





0 comment... add one now