Resepi Nasi Minyak, Ayam Masak Merah dan Nenas Masak Tumis

Memandangkan kita semua masih dalam mood beraya dan selepas ini akan ada banyak jemputan rumah terbuka. Pastinya para ibu akan sibuk mencari menu yang terbaik untuk dihidangkan kepada para tetamu. Bagi rakyat Malaysia yang memang sudah terkenal dengan makanan rujinya adalah nasi, hari ini aku rasa nak berkongsi resepi berasaskan nasi untuk para ibu semua. Menunya ialah NASI MINYAK. Biasanya nasi minyak disediakan semasa kenduri perkahwinan sahaja tetapi di Terengganu, anda boleh menikmati nasi minyak setiap hari,setiap pagi sebagai sarapan pagi. Baiklah,terus kita ke bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan nasi minyak istimewa sempena rumah terbuka Aidilfitri 2016.



RESEPI NASI MINYAK

2 kg beras basmathi (tak kisah jenama apa)
2.25 liter air
250 ml susu cair
serta garam secukup rasa

Bahan penumis:

6 camca besar minyak sapi
3 camca besar marjerin dimayang halus
10 ulas bawang merah dimayang halus
4 ulas bawang putih dimayang halus
3 cm halia dimayang halus
2 helai   daun pandan
5 cm kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan hiasan

5 tangkai daun ketumbar dimayang
3 tangkai daun pudina dimayang
50 gram kismis

Cara menyediakan nasi minyak

  1. Panaskan minyak sapi dan marjerin lalu tumiskan bahan-bahan penumis sehingga naik bau.
  2. Kemudian masukkan air, susu, daun pandan dan beras. Kacau rata sehingga mesra semua bahan.
  3. Masak beras seperti biasa. Apabila beras hampir kering, tutupkan periuk dan perlahankan api. Tunggu hingga nasi masak.
  4. Akhir sekali, taburkan bahan hiasan di atas nasi tersebut sebelum nasi minyak istimewa anda dihidangkan.
Nasi minyak biasanya dimakan bersama-sama dengan hidangan sampingan atau lauknya. Hidangan sampingan yang paling biasa ialah AYAM MASAK MERAH.

RESEPI AYAM MASAK MERAH

1 ekor ayam (dipotong kepada 12 bahagian, diperap bersama dengan kunyit dan garam serta digoreng sehingga setengah masak).
8 ulas bawang merah dikisar halus
3 ulas bawang putih dikisar halus
5 cm halia dikisar halus
3 batang serai diketuk (jangan ketuk sampai hancur lebur)
30 gram cili kering dikisar halus
                      2 tangkai daun kari (ambil daun je, tangkai tu buang)
  Bahan A     5 cm kulit kayu manis
                     1 kuntum bunga lawang
                    3 biji buah pelaga
1 cawan sos tomato
2 biji bawang besar dipotong bulat
2 biji tomato  potong wedges

Bahan hiasan

10 gram daun sup dimayang halus
10 gram daun bawang dimayang halus
100 gram kacang pis dimayang halus

Cara menyediakan AYAM MASAK MERAH
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang telah dikisar kecuali cili kering bersama-sama dengan bahan A dan juga serai sehingga naik bau.
  2. Selepas itu, masukkan cili kering, tumis sehingga cilil kering garing dan seterusnya masukkan sos tomato. Tunggu semua bahan mendidih dan memekat.
  3. Kemudian masukkan ayam. Kacau rata-rata.
  4. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula sesedap rasa dan masukkan tomato serta bawang besar. Balik-balikkan sebentar dan terus angkat.
  5. Hiaskan ayam masak merah tersebut dengan daun sup,daun bawang dan kacang pis di atasnya.
Tadaaaaaa...dah siap ayam masak merah anda. Nak tambah lagi? Boleh. Kita tambah satu lagi menu sampingan. Terimalah, NENAS MASAK TUMIS.

1 biji nenas dibuang kulit dan potong bulat dan dipotong kepada 4 bahagian
1 biji bawang besar dimayang halus
5 ulas bawang putih juga dimayang halus
10 gram biji sawi
5 cm kulit kayu manis
1 camca besar serbuk kunyit
garam dan gula secukup rasa 

Cara penyediaan
  1. Tumiskan bahan yang telah dimayang halus beserta biji sawi dan kulit kayu manis sehingga kekuningan dan naik bau.
  2. Kemudian masukkan nenas dan kacau rata-rata sehinggan tersebar pada semua nenas tu.
  3. Masukkan serbuk kunyit dan garam serta gula secukup rasa. Tunggu nenas sehingga betul-betul empuk sebelum dimakan bersama-sama nasi minyak dan ayam masak merah.

6 comments.. read them below or add one

Unknown Unknown August 04, 2016
Waahhhh sedapnyaaa. meleleh ailioq ni . hehe
AnonymousAnonymous August 04, 2016
mmg sedap..nama beza 1 huruf jer