Misteri Kematian Ketika Menonton Wayang

Misteri Kematian Ketika Menonton Wayang

Ini adalah beberapa kes kematian ketika menonton wayang. Kebanyakannya adalah berpunca daripada masalah kesihatan penonton itu sendiri. Ketawa yang melampau dan keterujaan boleh menjadi pencetus kepada kematian. 

Grand  Masti
Filem komedi Grand Masti antara naskah yang berjaya pecah panggung di India pada tahun 2013 dengan jumlah kutipan tayangan seluruh dunia mencecah AS$22juta (RM89juta). Filem arahan Indra Kumar itu mendapat sambutan hangat kerana menyelitkan unsur komedi tanpa henti. Namun,di sebalik kejayaan itu, terdapat satu kes kematian membabitkan seorang remaja berumur 22 tahun. Mangsa yang mati, Mangesh Gopal mati ketika menonton filem berkenaan akibat ketawa terlalu kuat sebelum diserang strok dan serangan jantung. Dia yang dikejarkan ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan doctor yang merawatnya memberitahu punca kematian adalah kerana ketawa berlebihan.

Sarang Kuntilanak
Tahun lau, penonton sebuah pawagam di Padang, Sumatera Barat, Indonesia dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang mati di tempat duduknya selepas selesai tayangan filem seram Sarang Kuntilanak. Mangsa, M. Afrizal 50 tahun, yang berasal dari Kelurahan Tarantang, Kecamatan Lubuk Kilangan ditemui tidak bernyawa oleh orang ramai pada pukul 7 malam waktu tempatan. Berdasarkan laporan polis,punca kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

The Dark Knight Rises
Kematian yang berlaku ketika menonton filem The Dark Knight Rises akan menjadi sejarah yang paling diingati dalam dunia perfileman Hollywood. Satu tragedi pembunuhan beramai-ramai ketika tayangan perdana filem itu diadakan di sebuah pawagam di Aurora, Colorado pada 2012. Seorang lelaki, James Holmes menyerang pawagam berkenaan yang pada ketika itu sedang sesak dengan ratusan penonton fanatik superhero Batman. Suspek yang membawa selaras senapang shotgun, rifel dan gas pemedih mata melepaskan tembakan rambang kepada orang ramai sehingga menyebabkan 12 orang mati di tempat kejadian dan mencederakan lebih 70 yang lain.Angka berkenaan merupakan jumlah korban terbesar yang berlaku di pawagam Amerika Syarikat. Manakala suspek yang Berjaya ditahan di luar kawasan pawagam berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah tetapi akhirnya dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Avatar
Filem sains fiksyen arahan James Cameron, Avatar, pernah mengorbankan seorang lelaki tua di Taiwan.Ketika kejadian yang berlaku pada 2010 itu, mangsa yang bernama Cuo, 42 tahun, diserang strok secara tiba-tiba akibat terlalu teruja melihat hasil kesan khas 3D dalam filem berkenaan. Doktor yang merawat mangsa memberitahu, tidak mustahil punca kematian lelaki tersebut berlaku kerana terlalu teruja melihat watak fiksyen berwarna biru menunggang naga. Mangsa yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi akhirnya meninggal dunia selepas 11 hari bertarung nyawa di hospital. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat pendarahan otak yang serius.

Black Swan
Mati ditembak kerana mengunyah bertih jagung terlalu kuat! Itulah fakta pembunuhan yang terjadi di dalam panggung wayang. Kejadian itu berlaku kepada seorang lelaki berusia 42 tahun ketika dia sedang menonton wayang Black Swan di sebuah pawagam di Republik Latvia, wilayah Baltic di utara Eropah. Menurut laporan daripada pihak polis, mangsa ditembak oleh seorang pemuda berusia 27 tahun yang tidak tahan mendengar bunyi bising yang keluar daripada mulut mangsa. Disebabkan enggan mengaku salah dan menolak untuk memohoh maaf, ia mendorong suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum menembak mati mangsa di tempat duduknya. Menurut rekod, suspek merupakan bekas graduan Akademi Polis Latvia dan pemegang ijazah dalam bidang undang-undang.


Sumber: Kosmo, Sabtu 25 Jun 2016

0 comment... add one now